Dalam kejadian pukul 7 pagi, kedua-dua suspek berusia 33 dan 19 tahun itu ditahan ketika berada di belakang kereta Honda Accord di kawasan tempat meletak ken­deraan sebuah restoran dekat Pulau Banding, Gerik.
Sewaktu ditahan, suspek ber­kenaan dipercayai cuba mengedarkan dadah tersebut kerana memegang empat bungkusan aluminium berisi barang terlarang itu yang disimpan dalam satu beg berwarna hitam.
Ketua Jabatan Siasatan Jena­yah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner V. R. Ravi Chandran berkata, polis yang telah mengintip kegiatan dua sahabat itu sejak tiga bulan lalu hasil maklumat orang awam; berjaya merampas bekalan dadah tersebut yang disyaki disasarkan untuk kawasan Gerik, Lenggong dan Ba­ling, Kedah.
“Kedua-dua suspek dari Pulau Pinang dan Perak itu masing-masing dikesan positif mengambil dadah dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Selain itu, polis turut menyita kereta Honda Accord berkenaan bersama wang tunai RM2,000.
“Dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 1,300 orang. Oleh itu, kedua-duanya telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Ravi Chandran berkata, bermula Januari sehingga Mac tahun ini, bilangan tangkapan keseluruhan pesalah dadah di ne­geri ini telah meningkat sebanyak 154 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Beliau berkata, kebanyakan pe­ngedar dadar yang ditahan merupakan dalang serta pembiaya sin­diket.
“Kesemua tangkapan kes pemilikan dan pengedaran ini telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu dan ganja bernilai RM956,957.50,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri akan terus meningkatkan tindakan terhadap ancaman dadah pada tahun ini bagi memastikan gejala tersebut dapat dibendung secara berterusan.