BAYI perempuan yang ditinggalkan di kawasan tangga Apartmen Sri Dahlia, Laman Puteri 3, Bandar Puteri di Puchong, semalam. GAMBAR DARIPADA LAMAN SOSIAL FACEBOOK
Bayi itu yang diletakkan di dalam sebuah beg plastik berwarna putih ditemukan Muhammad Rizuan Saad, 32, kira-kira pukul 11.30 malam ketika dia melalui kawasan tangga tersebut untuk naik ke rumahnya di tingkat 2.
“Saya terdengar tangisan bayi dan terus pergi ke arah beg plastik putih bertulis Tesco yang kelihatan bergoyang.
“Bayi ini berpakaian lengkap dan berusia lingkungan dua bulan serta tidak mengalami kecederaan ketika saya mengangkatnya,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Muhammad Rizuan, dia kemudian menghubungi polis untuk melaporkan penemuan itu.
“Saya berhasrat untuk menjadikan bayi itu sebagai anak angkat namun perlu menunggu siasatan polis selesai dan mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bayi itu mungkin warganegara Malaysia kerana terdapat kesan suntikan vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG),” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Adnan Abdullah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan bayi terbabit akan diserahkan kepada JKM hari ini selepas dirawat di Hospital Serdang.