Search This Blog

Sunday, April 3, 2016

Air racun

 Hadzlihady Hassan

hadzlihady@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Seorang penternak lembu kerugian RM42,000 apabila 14 haiwan peliharaannya itu mati dipercayai minum air yang dicemari racun dalam kejadian di kebun limau Kampung Kubang Ulu, Penanti, di sini, kelmarin.


Kejadian itu hanya disedari pemilik haiwan terbabit yang berusia 34 tahun kira-kira jam 4 petang selepas dia dimaklumkan ahli keluarganya berhubung kejadian berkenaan.

Difahamkan, pemilik lembu itu sudah mengusahakan ternakan itu sejak hampir 20 tahun lalu dan dia adalah pembekal utama daging lembu di daerah Penanti.

Dua jam sebelum kejadian, dia melepaskan 22 lembu peliharaannya untuk meragut rumput dalam ladang kelapa sawit berhampiran.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila diberitahu ahli keluarga, beberapa ekor lembunya dilihat sudah mati dengan keadaan perut kembung selain mulut berbuih serta mengeluarkan najis dipenuhi darah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, pemilik lembu terbabit ada membuat laporan berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian, lelaki itu mendapati enam lembu peliharaannya mati, manakala lapan lagi dalam keadaan tidak bermaya.

“Pemilik haiwan terbabit kemudian mengambil keputusan menyembelih lapan lembu yang masih bernyawa itu kerana tidak mahu melihat haiwan terbabit dalam keadaan terseksa.

“Setakat ini, kita menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian berkenaan dan tidak menolak kemungkinan semua haiwan itu mati akibat minum air yang dicemari racun,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal juga mendapati ada air yang ditinggalkan dalam bekas tong cat di tempat kejadian, namun pihaknya masih menjalakan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 429, Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:29 AM

EMAPT belas lembu mati dipercayai minum air racun di Kampung Kubang Ulu, Penanti, Bukit Mertajam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/127528#sthash.rxg89RKA.dpuf

No comments:

Post a Comment