ATLANTA - AMERIKA SYARIKAT. "Seorang wanita ditemui mati selepas terperangkap dalam sebuah peti sejuk beku hampir 13 jam di sebuah hotel di sini," kata polis.
Pencarian kehilangan wanita itu bermula apabila dia tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu kerjanya di Westin Peachtree Plaza.
Selepas meneliti rakaman CCTV hotel, pasukan penyiasat percaya wanita itu memasuki bilik peti sejuk beku kira-kira jam 8 malam pada Isnin dan ditemui selepas jam 9 pagi pada Selasa, kata polis Atlanta, Charles Hampton.
Pejabat Pemeriksaan Kesihatan Fulton County mengenapasti wanita itu sebagai Caralyn Robinson, 61, dari East Point.
Terdapat bukti yang menunjukkan wanita itu cuba untuk keluar dari peti sejuk beku berkenaan, namun Hampton tidak memberikan maklumat terperinci mengenai perkara tetrsebut.
"Ada beberapa jenis mekanisme untuk membolehkan sesiapa yang berada di dalam dapat keluar, namun saya tidak pasti sama ada ia berfungsi dengan baik.
"Bagaimanapun tiada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kes ini buat masa ini," ujarnya lagi.
Sementara itu, pihak hotel berkata, insiden tersebut sesuatu yang menyedihkan kerana wanita berkenaan telah lama bekerja di hotel itu.
"Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan akan memberikan bantuan dan sokongan kepada keluarga mangsa," kata jurucakap hotel dalam satu kenyataan yang dipetik AP
Polis sedang menunggu keputusan bedah siasaat dalam menentukan samada wanita itu mempunyai masalah kesihatan yang menghalangnya untuk keluar dari bilik sejuk berkenaan.