Noraini
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa, Noraini Abdul Rahim, 43, meninggal dunia di ruang tamu rumahnya setelah mengalami kece­deraan parah di leher, dada dan belakang badan mangsa.
Beliau berkata, ma­yat mangsa ditemukan anak sulungnya berusia sembilan tahun sebaik sahaja pulang dari sekolah pukul 2 petang.
“Anak kedua mang­­sa seorang ka­nak-kanak lelaki ber­usia lima tahun kemudiannya memberitahu kakaknya bahawa ibu bapa mereka bergaduh pada sebelah pagi sebelum suspek bertindak menikam ibu mereka.
“Murid itu membawa adiknya ke rumah nenek mereka terletak 20 meter dari rumah mereka sebelum menceritakan kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, jiran mangsa ada terdengar pergaduhan antara suspek dengan mangsa tetapi tidak menghiraukannya kerana menganggapnya hanya pertengkaran biasa.
Katanya, sejurus pihaknya me­nerima maklumat berhubung kejadian tersebut pukul 2.26 petang, sepasukan anggota kemudiannya menjalankan operasi mengesan suspek berusia 35 tahun dan berjaya menahannya di Jalan Padi Mahsuri 1, Bandar Baru Uda di sini setengah jam kemudian.
“Lokasi suspek ditahan adalah kira-kira 15 kilometer dari rumahnya. Suspek membuat pengakuan awal membunuh (mengelar leher) isteri­nya menggunakan sebilah pisau yang kemudiannya dicuci dan diletakkan di dapur rumah mereka,” katanya.