Search This Blog

Friday, March 25, 2016

Serpihan hampir pasti milik MH370






PUTRAJAYA – Dua serpihan yang ditemui di Mozambique hampir pasti milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 kerana kedua-dua bahagian itu konsisten dengan panel pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (gambar kecil) berkata, pemeriksaan ke atas serpihan itu yang dijalankan oleh Geosains Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di pusat kemudahan di Canberra, Australia sejak 21 Mac lalu selesai semalam.
Pemeriksaan dan analisis yang dijalankan ke atas serpihan itu dikendalikan oleh pakar antarabangsa daripada Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia bagi MH370, ATSB, Jabatan Penerba­ngan Awam Malaysia (DCA) dan Boeing, kata­nya.
Tiong Lai berkata, Pa­sukan Penyiasatan Ke­selamatan ICAO Annex 13 Malaysia menyatakan dimensi, bahan dan pembinaan kedua-dua bahagian itu sama dengan spesifikasi pesawat Boeing 777 dan cat penstensilan di kedua-dua bahagian sepadan dengan yang digunakan oleh Malaysia Airlines.
“Sehubungan itu, kedua-dua bahagian itu adalah konsisten dengan panel pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines dan hampir pasti adalah dari MH370,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau menambah, lokasi di mana kedua-dua serpihan itu ditemui di Mozambique adalah konsisten dengan hasil siasatan pemodelan hanyutan yang dijalankan oleh Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO).
Pada 8 Mac 2014, dunia dikejutkan dengan kehilangan misteri MH370 yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Pesawat B777-200 itu membawa 239 penum­pang yang terdiri daripada 227 orang terma­suk dua bayi dan 12 anak kapal.
Pada masa ini, operasi mencari pesawat itu dijalankan di selatan Lautan Hindi, lokasi di mana ia dipercayai berakhir.
Tiong Lai berkata, satu pasukan akan dihantar untuk mendapatkan serpihan itu di Afrika Selatan dan pemeriksaan lanjut serta analisis diperlukan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu milik MH370.
Terdahulu, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia, Darren Chester berkata, pencarian pesawat malang itu dite­ruskan dan seluas 25,000 kilometer persegi kawasan pencarian di bawah dasar akan diperiksa.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz43rq6IgW3 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment