Search This Blog

Monday, March 21, 2016

Seorang maut kereta terbabas masuk gaung

MUHAYUDIN SALLEH

 21 MAC 2016

Keadaan kereta yang remuk selepas terbabas masuk ke dalam gaung mengakibatkan seorang penumpang maut.

 MUADZAM SHAH - Seorang maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer (KM) 154.1 Jalan Kuantan - Seremban berhampiran Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Palong, di sini sekitar jam 6.15 petang semalam.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Yusran Che Ngah, 36, manakala dua mangsa lain yang cedera dikenali sebagai Abu Bakar Yam Zam, 28 dan Faizal Che Mat, 39, yang kesemuanya berasal dari Bukit Rambai, Melaka.
Seorang maut kereta terbabas masuk gaung

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian kemalangan berlaku apabila  kereta yang mereka naiki hilang kawalan dan terbabas masuk dalam gaung.
“Ketiga sahabat ini dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas memancing di suatu lokasi dan ketika tiba di lokasi kejadian kenderaan yang dinaiki telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam gaung di sebelah kiri jalan.
“Punca kemalangan dipercayai disebabkan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk manakala mangsa yang maut merupakan penumpang di kerusi belakang dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Muhammad Aidil, pemandu kenderaan mengalami cedera parah manakala seorang lagi penumpang yang duduk di kerusi penumpang hadapan mengalami cedera ringan dan keduanya dihantar ke Hospital Jempol, Negeri Sembilan untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment