Search This Blog

Monday, March 21, 2016

Pertahankan Diri, Polis Tembak Seorang Lelaki Di Keningau


Diterbitkan: Ahad, 20 Mac 2016 10:23 PM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditembak mati di sebuah kebun di Keningau petang semalam setelah suspek dikatakan mengancam keselamatan anggota polis yang cuba mendamaikan perselisihan fahamnya dengan jiran. 

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari E.M Nadzeer berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah lelaki berusia 55 tahun itu, berasal dari Kampung Ulu Patikang.

Ini berlaku setelah suspek melepaskan tembakan ke arah polis menggunakan senapang patah buatan sendiri dipanggil 'ginsuk' dalam bahasa tempatan. 

Katanya, sepasukan anggota polis telah dihantar ke kawasan tanah kebun dikampung tersebut selepas menerima aduan daripada seorang lelaki berumur 68 tahun yang mendakwa diugut bunuh oleh suspek atas pertikaian sempadan tanah kebun.  

Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota polis telah mendekati suspek bagi menenangkannya.

"Tetapi suspek menghalakan senapang patah ke arah salah seorang anggotapolis sehingga menyebabkan anggota polis berkenaan terpaksa melarikan diri dibelakang tangki air berdekatan. 

Suspek melepaskan satu das tembakan ke arah polis dan mengenai tangki air.  

"Polis membalas tembakan itu untuk mempertahankan diri," kata Awang Sahari dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, tembakan polis berkenaan mengenai suspek sebelum suspek terjatuh dan pihaknya telah berusaha menyelamatkan suspek namun dia meninggal dunia di tempat kejadian. 

Dalam pada itu, Awang Sahari berkata siasatan pihaknya mendapati suspek dibebaskan dari penjara pada Julai tahun lalu. 

Dia menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyebabkan kematian pada tahun 2001. -Bernama

No comments:

Post a Comment