Seorang warga emas maut ditikam selepas disamun di hadapan sebuah
Seorang warga emas maut ditikam selepas disamun di hadapan sebuah kedai di Pekan Tanjong Karang, Selangor, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, mangsa yang juga warga Thailand, Chemusor Masor, 59, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam sebanyak tiga kali di bahagian dada dan rusuk bahagian kiri.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ruslan Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 12.54 tengah hari memaklumkan seorang warga emas terlantar di kaki lima dengan pendarahan teruk akibat tikaman di beberapa bahagian badan.
Difahamkan, mangsa keluar untuk mengutip derma bersama anak lelakinya dan seorang wanita lain serta anaknya pada pukul 8 pagi dari Kampung Sri Indah Sungai Buloh ke Bank Islam Tanjong Karang.
“Setelah sampai di Bank Islam Tanjong Karang mereka berpecah untuk mengutip derma. Difahamkan, pada pukul 12.50 tengah hari, mangsa yang berada di tepi kaki lima di deretan kedai Jalan Bagan Lama didatangi dua lelaki berbadan kurus serta berkulit gelap menaiki sebuah motosikal Yamaha LC serta bertopi keledar merampas beg silang dan kotak berisi wang derma untuk sebuah masjid di Narathiwat.
“Semasa menarik beg silang tersebut, pembonceng motosikal telah menikam mangsa sebanyak tiga kali iaitu satu di tengah dada manakala dua tikaman lagi di rusuk bahagian kiri,” katanya ketika dihubungi di sini.
Ruslan berkata, kedua-dua suspek melarikan diri ke arah Jalan Besar, Tanjong Karang menghala ke Kuala Selangor manakala mangsa sempat berjalan kira-kira 21 meter sebelum rebah di kaki lima.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan barangan yang hilang adalah sebuah telefon bimbit. Bagaimanapun, jumlah wang tunai dan jumlah wang derma masih tidak dapat dipastikan,” katanya.
Beliau menambah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Asisten Superintenden Ramle Bakar di talian 012-5112034 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.