Search This Blog

Monday, March 21, 2016

Pengedar filem Ip Man 3 tipu kutipan box office

Beijing: Pihak berkuasa filem China menggantung lesen pengedar kisah kung fu Ip Man 3 kerana menipu jumlah kutipan box office filem itu.
Siri ketiga filem yang dibintangi Donnie Yen itu mula ditayangkan di China pada 4 Mac lalu namun tidak lama selepas itu terkait dengan dakwaan penipuan selepas ia dilaporkan memperoleh keuntungan 500 juta yuan (RM321 juta) dalam masa hanya empat hari tayangan.
Menurut agensi berita Xinhua kelmarin, pengedar filem terbabit, Dayinmu, yang juga dikenali sebagai Beijing Max Screen, mengaku membeli sendiri tiket bernilai 56 juta yuan (RM36 juta).
Ketua biro filem, Zhang Hongsen berkata: “Mereka memalsukan lebih 7,600 tayangan filem itu yang didakwa menjana jualan tiket 32 juta yuan (RM20 juta).
“Isu seperti ini boleh dianggap tidak dapat dielakkan dalam industri baru, tetapi penipuan jualan tiket semakin serius dan ia mampu menjejaskan industri perfileman di negara ini.”
Biro itu mengarahkan syarikat terbabit digantung pengedaran selama sebulan, sementara ia ‘memulihkan semua penyelewengan,’ selain memberi amaran kepada tiga kumpulan penjualan tiket elektronik yang terbabit dalam penipuan itu termasuk 73 pawagam.
Sebelum ini, panggung wayang dan pengedar di China pernah dituduh menipu jualan tiket dengan membeli tiket atau mengira keuntungan satu filem untuk yang lain.
Walaupun pengedar terpaksa membelanjakan wang untuk membeli beribu-ribu tiket pawagam, pembelian secara besar-besaran mampu meningkatkan profil filem itu untuk menjadi bualan seterusnya menarik perhatian lebih ramai penonton.
Tidak lama selepas pengeluaran filem Ip Man 3, yang turut dibintangi bekas peninju terkenal Mike Tyson, media kerajaan melaporkan pengedar membeli tiket diskaun secara pukal daripada pelbagai rangkaian pawagan untuk tayangan tanpa penonton selepas tengah malam pada kadar mahal.
Pasaran filem China berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi pengeluar filem kedua terbesar selepas Amerika Syarikat. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 7:47 AM


ADEGAN dalam filem Ip Man 3.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/124259#sthash.PDHG6wNd.dpuf

No comments:

Post a Comment