Search This Blog

Sunday, March 20, 2016

Pemungut derma warga Thailand maut ditikam peragut

AHAD, 20 MAC 2016 @ 9:11 PM

Oleh Suzaini Sulaiman
bhnews@bh.com.my




SEORANG lelaki warga Thailand maut selepas ditikam oleh seorang lelaki yang meragutnya di Jalan Bagan Lama, di Tanjong Karang. - Foto ihsan pembaca
TANJONG KARANG: Seorang pemungut derma warga Thailand maut selepas ditikam oleh seorang lelaki yang meragutnya di Jalan Bagan Lama, di sini, tengah hari tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari, mangsa, Chemusor Masor, 59, sedang mengutip derma di tepi kaki lima di hadapan deretan kedai di pekan Tanjong Karang, untuk sebuah masjid dipercayai di Narathiwat, Selatan Thailand, sebelum beliau didatangi dua lelaki dengan menaiki sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah, berkata pembonceng motosikal berkenaan kemudian merampas beg silang mangsa serta mengambil wang derma dalam kotak yang dibawa, menyebabkan Chemusor cuba menghalangnya dengan menarik beg berkenaan.

Katanya, ketika itu, suspek menikam mangsa di dada dan di bahagian rusuk kirinya sebelum kedua-dua mereka melarikan diri ke belakang deretan kedai dan menuju ke Jalan Besar Tanjong Karang.

"Mangsa kemudian berjalan kira-kira 20 meter hingga ke hadapan sebuah kedai sebelum rebah. Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Tanjong Karang (HTK).

"Mangsa mengalami kerugian wang tunai yang tidak diketahui jumlahnya selain telefon bimbit yang juga dilarikan suspek," katanya.

Ruslan berkata, mayat mangsa dibawa ke HTK untuk bedah siasat dan polis meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Beliau berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 10 pagi, anak lelakinya, Samri Masro, 37; menghantar Chemusor dan dua lagi individu seorang wanita berusia 40 tahun dan anaknya ke sebuah bank di pekan berkenaan dan mereka berpecah untuk mengutip derma.

Katanya, mangsa dan anaknya dipercayai menyewa sebuah rumah di Kampung Sri Indah, Sungai Buloh. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment