Search This Blog

Sunday, March 20, 2016

Pemilik perniagaan ramalan hilang wang tunai RM50,000





20/03/2016 9:41pm

Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN
SEREMBAN - Seorang pemilik perniagaan nombor ramalan kehilangan wang tunai kira-kira RM50,000 selepas premisnya dipecah masuk di Jalan Nunis di sini, pagi tadi.

Difahamkan, kejadian pukul 7.50 pagi tersebut disedari oleh seorang pekerja kedai berkenaan ketika dia mahu memulakan perniagaan. Dia mendapati pintu di bahagian dalam kedai telah terbuka.

Menyedari sesuatu yang pelik, pekerja itu kemudian ternampak tangga di dalam kedai yang disambungkan ke atas kedai telah diturunkan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, wang tunai yang lesap itu disimpan di dalam tiga buah peti besi di bahagian pejabat malah pengadu juga mendapati kabel televisyen litar tertutup (CCTV) dan penggera milik syarikat dipotong.

Menurut beliau, modus operandi dipercayai suspek lebih daripada seorang memanjat tangga di bahagian belakang premis dan masuk melalui bumbung bahagian belakang bangunan.

"CCTV dalam premis telah dirosakkan dan perakam CCTV dilarikan suspek. Penggera premis juga dirosakkan oleh suspek.

"Peti besi simpanan wang perniagaan dirosakkan dengan cara menggerudi besi dan ia diumpil menggunakan kuku kambing yang mana 43 bilah mata pengasah besi ditemui dalam bilik kedua bersama sebatang kuku kambing," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Muhamad Zaki, kesan dan bukti yang ditemui di lokasi kejadian akan dihantar untuk dianalisis dan polis percaya dapat mengesan suspek melalui cap jari dan hasil Asid Deoksiribonukliek (DNA).

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_22.htm#ixzz43SFaCe1h
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment