Kapten Daniel Dusek, 49 turut diperintah membayar balik sebanyak AS$30,000 (RM120,599) kepada pihak anggota tentera laut dalam skandal rasuah terbesar membabitkan pasukan tersebut.
“Mahkamah tidak boleh membayangkan dalam kedudukan kamu sebagai anggota tentera laut AS sanggup menjual maklumat itu untuk memperoleh bilik hotel, hiburan dan perkhidmatan pelacur,” kata Hakim Janis Sammartino dalam penghakimannya di Mahkamah San Diego, California, kelmarin.
Dusek yang mengaku bersalah pada Januari 2015 atas tuduhan bersubahat melakukan rasuah merupakan antara beberapa pegawai tentera laut yang masih bertugas dan bersara yang didakwa terlibat dalam skandal membabitkan berjuta-juta dolar.
Ketika itu Dusek berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Operasi untuk Armada ke-7 AS.
Individu utama skandal tersebut, seorang kontraktor, Leonard Francis juga mengaku bersalah pada tahun lalu dalam kes berkenaan.
Dia mengaku syarikatnya yang beribu pejabat di Singapura, Glenn Defense Marine Asia (GDMA) yang menyediakan perkhidmatan pelabuhan, sering menyediakan makanan, minuman keras, penginapan hotel mewah dan hadiah-hadiah lain bagi memastikan kapal-kapal tentera laut AS berhenti di pelabuhan di tempat GDMA beroperasi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Dusek pernah mengaturkan agar kapal pembawa pesawat, USS Abraham Lincoln supaya berhenti di Pelabuhan Kelang, Malaysia, sebuah pelabuhan terminal yang dimiliki Francis.
Menurut para pegawai, kunjungan ke pelabuhan itu pada 2010 menelan kos kira-kira AS$1.6 juta (RM6.4 juta) kepada AS.  AFP