Search This Blog

Sunday, March 20, 2016

Parah dibelasah kerana pisang




BATU PAHAT - Niat dua beradik menangkap seorang lelaki yang mencuri pisang dari gerai buah-buahan mereka bertukar mimpi ngeri apabila mereka cedera dibelasah sekumpulan lelaki, dipercayai rakan lelaki terbabit di Jalan Rengit, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Harun Arrashid Salahudin, 34, cedera parah akibat patah tulang muka dan tengkorak, selain turut mengalami pendarahan dalam kepala, manakala adiknya, Muhamad Fadzilah Salahudin, 28, lebam di muka.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila mangsa ternampak seorang lelaki mencuri buah dari gerai mereka dan cuba menahan suspek.
“Mangsa telah menahan suspek tetapi tiba-tiba datang sekumpulan lelaki tidak dikenali, antara 15 hingga 20 orang dipercayai kawan suspek yang bertindak mengepung kedai dan memukul mereka guna pengunci motosikal.
Parah dibelasah kerana pisang
Muhamad Fadzilah menunjukkan jenis pisang yang sama menjadi sasaran pencuri pisang di gerai buah-buahan miliknya.
"Mangsa dapat mengecam kebanyakan wajah suspek dan mengenali salah seorang lelaki dikenali sebagai Joker,” katanya.
Menurutnya, kejadian disedari bapa mangsa yang cuba menghubungi anaknya tetapi panggilan tidak berjawab.
"Bapa mangsa segera ke gerai terbabit dan mendapati kedua-dua anaknya cedera dipukul. Seorang daripadanya tidak sedarkan diri.
"Kejadian disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan. 15 lelaki berusia 18 hingga 40 tahun turut ditahan di sekitar Rengit, malam semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut," katanya.
Harun Arrashid yang koma dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan susulan, dan dilaporkan stabil.
Sementara itu, Muhamad Fadzilah berkata, dia dan abangnya mengambil keputusan tidur di gerai buah-buahan itu bergilir-gilir kerana hilang sabar akibat kes kecurian kerap berlaku.
"Dalam masa dua bulan ini sahaja, sudah empat kali kejadian curi pisang berlaku di gerai kami hingga menyebabkan kami rugi kira-kira RM1,500," katanya.
Namun katanya, kejadian terakhir itu menyebabkan abangnya mengalami kecederaan serius selepas mereka bertindak cuba menangkap pencuri pisang terbabit.
“Pada malam kejadian, saya ambil keputusan tidur di gerai selepas saya dan abang tak tahan lagi dengan kes kecurian ini. Pisang yang selalu dicuri ialah pisang tanduk dan kapok.
“Semasa giliran saya tidur di gerai, saya nampak kelibat dua individu punggah sesuatu ke dalam guni di dalam gerai.
"Saya nekad tangkap mereka. Saya berjaya tangkap seorang, tapi lagi seorang terlepas," katanya.
Muhamad Fadzilah berkata, seperti dijangka, suspek yang ditangkapnya itu memang dikenalinya berdasarkan intipan dilakukan sebelum ini.
"Saya sempat hubungi abang supaya buat laporan polis tetapi tiba-tiba datang sekumpulan lelaki hampir 20 orang, dipercayai rakan suspek. Abang pun tiba pada masa tu juga.
"Abang saya dikejar hingga kawasan semak belakang gerai, sementara saya dipukul depan gerai tetapi diselamatkan orang ramai yang berada berhampiran," katanya.

No comments:

Post a Comment