Search This Blog

Monday, March 21, 2016

Padah rasuah, peneroka didenda RM10,000

Mahkamah

SHAHIZATUL FARHA S ROSLI

21 MAC 2016

 JOHOR BAHRU - Padah memberi rasuah RM300 kepada anggota polis, seorang peneroka dipenjara tiga hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.
Tertuduh, Mohd Yusof Patah@Haron, 67 didakwa memberi suapan wang tunai RM300 kepada Lans Koperal, Zailan Puteh supaya tidak mengeluarkan saman mengikut Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap Mujahidin Age.
Bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 16 Oktober tahun lalu kira-kira jam 11.25 pagi di Pondok Polis Palong Timur, Segamat dekat sini.
Suapan itu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja asing warga Indonesianya itu yang tidak mempunyai lesen memandu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Tertuduh yang mengaku bersalah merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan di atas kesalahan pertamanya itu dan memohon mempertimbangkan keadaannya yang tidak berpendapatan tetap selain mempunyai ramai tanggungan.
Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM10,000 ke atas tertuduh serta enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

No comments:

Post a Comment