Search This Blog

Tuesday, March 29, 2016

Ketua kewangan raja dadah Mexico ditangkap


GUZMAN


BANDAR RAYA MEXICO – Pihak berkuasa berjaya menangkap seorang lelaki dikenal pasti sebagai ketua pengurus kewangan di belakang empayar raja dadah, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman yang dikatakan terbabit dalam ke­giatan menggubah sebanyak AS$4 bilion (RM16 bilion) wang sejak 10 tahun lalu, lapor polis persekutuan Mexico kelmarin.
“Sekumpulan anggota polis persekutuan elit dan tentera Me­xico telah menangkap Juan Manuel Alvarez Inzunza yang juga dikenali sebagai ‘El Rey Midas’ (Raja Midas) di negeri Oaxaca,” kata polis dalam satu kenyataan akhbar.
Menurut pasukan penyiasat, suspek berusia 34 tahun itu menguruskan sebilangan syarikat termasuk pusat pengurup wang dengan penggubahan wang antara AS$300 juta (RM1.2 bilion) hingga AS$400 juta (RM1.6 bilion) setiap tahun bagi pihak kartel Sinaloa pimpinan Guzman.
Alvarez Inzunza beroperasi di negeri Sinaloa dan Jalisco tetapi dia berada di negeri Oaxaca untuk bercuti ketika ditangkap.
Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan satu arahan untuk menahan Alvarez Inzunza supaya dia boleh dieks­tradisi ke Amerika Syarikat atas permintaan sebuah mahkamah persekutuan di Washington.
Operasi penggubahan wang haram Alvarez Inzunza melangkaui sempadan Mexico hingga ke Colombia, Panama dan AS, jelas pihak berkuasa.
Kartel Sinaloa dianggap sebagai salah seorang anggota kumpulan dadah pa­ling berkuasa di Mexico dan dipimpin Guzman yang ditangkap semula pada Janua­ri lalu selepas dua kali berjaya melarikan diri dari dua buah penjara kawalan ketat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz44F8DogFE 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment