Search This Blog

Monday, March 28, 2016

Kanak-kanak setahun antara dua mati dalam kemalangan berasingan di Perak


Nanih


IPOH – Seorang kanak-kanak ber­usia setahun enam bulan antara dua yang maut dalam dua kemalangan berasingan melibatkan motosikal di Kampar dan Sungai Siput semalam dan kelmarin.
Dalam kemalangan pertama kira-kira pukul 8.15 malam kelmarin itu, kanak-kanak terbabit, Nurul Mya Zulaikha Muhammad Zulhilmi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa bersama ibunya yang berusia 22 tahun dalam perjalanan ke pekan Sungai Siput dari rumah mereka di Kampung Jaya Setia menaiki motosikal Honda EX5.
“Apabila sampai di tempat kejadian, wanita itu telah terlanggar seekor lembu sedang melintas jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, mayat mang­sa dan ibunya yang cedera ringan dihantar ke Hospital Sungai Siput.
Dalam kemalangan kedua yang berlaku pada pukul 7.20 pagi semalam, mangsa, Nanih Usman, 21, meninggal dunia apabila motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang rakannya terbabas ke bahu jalan di Kilometer 306.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di Kampar.
Rakannya, Nur Izzwan Musa, 19, pula parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Koong Soon berkata, mangsa dan rakannya itu dalam perjalanan ke Ipoh dari Kuala Lumpur.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal itu hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz449F1TMvW 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment