Search This Blog

Tuesday, March 22, 2016

Identiti pengebom di Istanbul dikenal pasti


ISTANBUL – Seorang militan Turki dipercayai melakukan pengeboman bunuh diri di sebuah lokasi beli-belah di Istanbul yang me­ragut nyawa empat warga asing, kata Menteri Dalam Negeri, Efken Ala kelmarin.
“Penyerang telah dikenal pasti secara rasmi. Dia mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS),” kata Efken pada satu sidang akhbar.
Beliau menamakan pengebom itu sebagai Mehmet Ozturk dari Gaziantep, sebuah bandar di tenggara Turki yang bersempadan dengan Syria.
Sebanyak tiga warga Israel dan seorang rakyat Iran terbunuh, manakala 39 mangsa cedera apabila pengebom itu meletupkan dirinya di Istiklal Caddesi pada Sabtu lepas. Tiada kumpulan pengganas me­ngaku bertanggungjawab mendalangi serangan itu.
Kebanyakan mereka yang cedera dalam serangan di kawasan persiaran pejalan kaki di luar sebuah bangunan kerajaan itu juga merupakan rakyat asing.
Menjelang pagi kelmarin, seramai 19 orang masih dirawat di hospital dengan lapan daripada mereka parah, kata kementerian kesihatan.
Menurut agensi berita Dogan, Mehmet yang dilahirkan pada 1992 dikenal pasti daripada kesan asid deoksiribonukleik (DNA) yang ditemui di lokasi serangan.
“Dia bukan dalam senarai orang buruan kami,” kata Efken ketika mempertahankan pihak berkuasa daripada dakwaan gagal mengawal keselamatan negara susulan enam serangan dahsyat sejak Julai 2015 yang membunuh lebih 200 orang.
Sebelum ini, seorang anggota IS, Savas Yildiz dinamakan sebagai pengebom berkenaan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz43aEbxFS8 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment