SUNGAI PETANI - Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler dalam kejadian yang berlaku di Batu 10 Jalan Jeniang-Gurun, dekat sini, kira-kira jam 8.18 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler yang dalam perjalanan dari arah Jeniang menghala Gurun, dilanggar dari arah belakang oleh motosikal yang ditunggang mangsa.
"Mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzzaman, 16, disahkan maut di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam kes berasingan, seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum jatuh ke dalam tali air di Bukit Jenun, Pendang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superitenden Fadzil Hashim berkata kejadian jam 5.50 petang itu berlaku semasa Muhammad Hasmirul Fitri Musa, 17, dalam perjalanan dari Bukit Jenun ke Sungai Besar, sebelum hilang kawalan secara tiba-tiba.
"Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha EX5 secara sendirian sedang dalam perjalanan ke Sungai Besar sebelum hilang kawalan sebaik tiba di tempat kejadian dan terbabas memasuki tali air Bukit Jenun.
"Mayat mangsa yang tenggelam telah berjaya dijumpai kira-kira jam 7.38 malam oleh anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Fadzil, tiada unsur jenayah yang terlibat dalam kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama