Search This Blog

Wednesday, March 23, 2016

Dalang rompakan terbesar dipenjara



AGENSI - IMEJ menunjukkan gambar terkini Reader (kiri) dan gambar lama pada tahun 1986.


LONDON – Dalang rompakan barang kemas terbesar di Britain, Brian ‘The Guv’nor’ Reader, 77, dihukum penjara enam tahun tiga bulan kelmarin selepas mengaku bersalah terbabit dalam rompakan berkenaan.
Reader yang merupakan anggota paling tua dalam kumpulan itu mengaku bersalah pada September lalu atas tuduhan bersubahat melakukan rompakan.
Pasukan pendakwa raya menyifatkan rompakan di kawasan kedai barang kemas London, Hatton Garden itu sebagai ‘rompakan paling besar dalam sejarah perundangan Bri­tain’ melibatkan barang kemas, bongkah emas dan wang tunai bernilai £14 juta (RM81 juta).
“Saya berpuas hati kamu digambarkan sebagai salah seorang dalang rompakan dan terlibat dalam beberapa perjum­paan berkala,” kata Hakim Christopher Kinch kepada Reader di Mahkamah Woolwich Crown di tenggara London ketika dia menjatuhkan hukuman tersebut.


AGENSI - BILIK kebal yang diceroboh masuk oleh kumpulan perompak yang diketuai oleh Reader.


Reader menghadiri perbicaraan tersebut melalui paparan video secara langsung selepas mahkamah dimaklumkan dia kurang sihat.
Penjenayah warga emas itu menghidap kanser prostat, kurang pendengaran, mata kabur, beberapa kali diserang angin ahmar dan memerlukan bantuan untuk urusan harian seperti mandi.
Reader juga pernah di­sabitkan kesalahan pecah rumah pada 1950. Lapan rakan jenayahnya dalam rompakan terbaru itu telah dijatuhkan hukuman penjara kerana peranan masing-masing sebelum ini.
Kumpulan perompak itu berjaya masuk ke sebuah bilik kebal pada 2 April tahun lalu iaitu ketika musim cuti Easter dan mengambil masa tiga hari untuk memecah masuk dan mengupil 73 peti ke­selamatan milik kedai barang kemas berkenaan.
Mereka dilaporkan menggunakan gerudi khas untuk mengorek dinding konkrit setebal 50 senti­meter bangunan ber­kenaan. Berikutan beberapa siri tangkapan, pihak berkuasa bagaimanapun hanya berjaya mene­mui semula emas dan bara­ngan kemas bernilai £3.7 juta (RM21 juta). – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz43g1srkAk 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment