Search This Blog

Friday, March 25, 2016

Bom dalam bagasi



IMEJ CCTV menunjukkan tiga suspek pengebom bunuh diri yang dipercayai terlibat dalam serangan di Lapangan Terbang Zaventem kelmarin.


BRUSSELS – Penyerang-penyerang yang mengebom lapangan terbang Brussels kelmarin menyembunyikan bom dalam bagasi mereka, kata seorang datuk bandar tempatan.
Letupan di Lapangan Terbang Zaventem itu meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa.
“Mereka tiba dengan menaiki sebuah teksi dan membawa beberapa buah beg pakaian.
“Bom mereka disimpan di dalam bagasi itu.
“Mereka meletakkan beg masing-masing di atas beberapa troli, dua bom pertama meletup. Pengebom ketiga juga berbuat demikian. Dia panik kerana bomnya tidak meletup,” kata Datuk Bandar Zaventem, Francis Vermeiren semalam.
Menurutnya, unit pemusnah bom kemudian meletupkan bom tersebut.
Terdahulu, pihak pendakwa raya Belgium menyatakan, terdapat dua pengebom bunuh diri dan polis sedang memburu pengebom ketiga yang melarikan diri selepas bomnya gagal meletup.
Polis mengeluarkan notis orang buruan terhadap suspek berkenaan berserta gambar rakaman CCTV yang menunjukkan lelaki itu bercermin mata, berjanggut dan memakai jaket putih serta topi hitam. Dia menolak sebuah troli bersama beg hitam.
Terdahulu, polis Belgium melancarkan operasi besar-besaran mengesan pengebom-pengebom kumpulan militan Islamic State (IS) itu yang menyerang Lapangan Terbang Zaventem dan stesen metro Maelbeek di Brussels kelmarin yang mengorbankan 35 orang dan lebih 200 lagi cedera.
Helikopter-helikopter polis berlegar di ruang udara Brussels sehingga lewat malam kelmarin, sementara beberapa serbuan dilakukan di seluruh Belgium, kata pihak pendakwa raya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sebuah bom, bendera IS dan beberapa bahan kimia ditemui di sebuah pangsapuri yang diserbu polis.
Terbaru, dua pengebom bunuh diri yang meletupkan diri mereka di Lapangan Terbang Zaventem dipercayai merupakan adik-beradik yang diburu kerana kaitan mereka dengan suspek utama serangan di Paris, Salah Abdelsalam, menurut stesen televisyen Belgium, RTBF semalam yang memetik sumber polis.
RTBF menamakan dua beradik itu sebagai Khalid dan Ibrahim El Bakraoui. Polis menangkap Salah yang merupakan orang paling dikehendaki di Eropah dalam satu operasi di Brussels pada Jumaat lepas.
Keupayaan pengganas menyerang sasaran berprofil tinggi di Brussels yang menjadi pusat pentadbiran Kesatuan Eropah, hanya beberapa bulan selepas militan IS membunuh 130 orang di Paris menimbulkan kesangsian tentang kemampuan benua itu mengekang keganasan.
Sementara itu, penduduk Brussels bertafakur di dataran Place de la Bourse semalam untuk memperingati mangsa-mangsa yang terbunuh dalam serangan tersebut.
Mereka menyanyikan beberapa lagu dan mengibarkan bendera Belgium. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz43rsNdAEs 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment