Search This Blog

Monday, March 21, 2016

Anggota polis didakwa terima rasuah RM500

NOOR'AINON MOHAMED YUSOF

21 MAC 2016

Anggota polis didakwa terima rasuah RM500

 Roslin dibawa ke lokap Mahkamah Ipoh sementara menunggu dijamin oleh ahli keluarganya.


 IPOH - Seorang anggota polis berpangkat Koperal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah berjumlah RM500 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Tertuduh, Roslin Md Esa, 52, yang bertugas di Balai Polis Tanjung Rambutan membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Indra Nehru Savandiah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan berjumlah RM400 daripada Bedah Debok sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anaknya, Azrul Haffiz Che Azzmi yang ditahannya di Balai Polis Tanjung Rambutan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Bapa kepada tiga anak itu juga turut didakwa menerima suapan berjumlah RM100 daripada individu yang sama dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) akta sama.
Roslin didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah gerai air kelapa, Jalan Besar, Tanjung Rambutan antara jam 2.30 petang dan 4.30 petang pada 14 Mei 2014.
Tertuduh boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh.
Terdahulu, Nurul Wahida menawarkan jaminan sejumlah RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Namun, Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 April ini.

No comments:

Post a Comment