Search This Blog

Monday, March 21, 2016

Ajal pertahan wang derma

Tanjung Karang: Seorang lelaki warga Thailand berusaha sedaya upaya mempertahankan wang hasil kutipan derma untuk pembinaan sebuah masjid sehingga dirinya maut akibat ditikam dua penyamun di depan kedai di Jalan Bagan Lama di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa dikenali Chemusor Masor, 59, berasal dari Narathiwat bersama seorang anak lelakinya serta dua lagi rakan tinggal di Kampung Sri Indah, Sungai Buloh dan datang ke pekan Tanjung Karang pagi semalam untuk mengutip derma.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ruslan Abdullah berkata, mereka dikatakan berpecah untuk mengutip derma di kawasan tertentu sehingga mangsa didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dipercayai jenis Yamaha LC di depan sebuah kedai.
Menurutnya, pembonceng motosikal itu kemudian menarik beg silang mangsa dan mengambil wang dalam kotak sebelum menikam mangsa tiga kali.
“Mangsa ditikam di tengah dada dan dua lagi di rusuk kiri dan suspek yang memakai topi keledar berbadan kurus serta berkulit gelap itu kemudian melarikan diri dengan motosikal ke jalan besar menuju Kuala Selangor.
“Mangsa cuba berjalan kaki kira-kira 20 meter bagi meminta bantuan sebelum rebah dan tidak sedarkan diri di depan deretan bangunan kedai berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu cuba memberi bantuan kepada mangsa dan menghubungi pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Tanjung Karang yang tiba tidak lama kemudian. Barang yang hilang termasuk telefon bimbit mangsa serta wang tunai yang tidak diketahui jumlahnya,” katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Asisten Superintendan Ramle Bakar di 012-5112034.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 7:01 AM


PASPORT mangsa ditemui pada mayat yang ditikam penyamun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/124236#sthash.P3k7M1OD.dpuf

No comments:

Post a Comment