Mortadza Nazarene
Pengarahnya, Datuk Seri Mortadza Nazarene memberitahu, serbuan dilakukan di Taman Melawati Indah, Kuala Lumpur; Ampang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan selepas pihaknya berjaya mengesan lokasi yang dijadikan pusat kegiatan penipuan panggilan telefon.
Katanya, walaupun menjadikan Malaysia sebagai pusat, namun sasaran utama sindiket berkenaan adalah rakyat Taiwan dan China.
“Kita berjaya menahan 40 warga Taiwan, 36 warga China dan seorang rakyat tempatan di tiga lokasi berasingan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mortadza, semasa serbuan dijalankan kesemua premis sedang beroperasi dan dilengkapi dengan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter rasminya mengucapkan syabas kepada jabatan tersebut atas kejayaan yang dilakukan.
“Syabas JSJK @PDRMsia BAman serbu tiga lokasi di Seremban,Taman Ukay dan Melawati Ampang tangkap 77 orang warga China/Taiwan terlibat Macau Scam . #GoPDRMGo,” katanya.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, tindakan ahli sindiket Macau Scam yang didalangi 15 warga asing berselindung di sebalik sebuah banglo di kawasan sebuah perumahan mewah di Iskandar Puteri, di sini tumpas apabila diserbu polis semalam.
Dalam serbuan kira-kira pada 8 malam itu, suspek yang terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita dipercayai terdiri daripada warganegara China dan Taiwan itu sedang sibuk menjalankan kegiatan jenayah mereka di banglo ber­kenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Mah Khye Beng berkata, siasatan awal hasil serbuan Op Pelican itu juga, katanya, mendapati sindiket tersebut disyaki menyewa kediaman mewah sebagai pusat panggilan (call centre) bertujuan memperdaya mangsa kumpulan berkenaan yang terdiri daripada warganegara asing.
“Bertindak atas maklumat dan risikan dijalankan polis, kita menyerbu kediaman mewah itu dan menahan 15 warga asing terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan Macau Scam.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa modem pelbagai jenama, tujuh komputer riba, 41 telefon bimbit dan 10 buah ‘router’ dipercayai digunakan suspek menjalankan aktiviti mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.