Search This Blog

Sunday, March 20, 2016

7 gerai disita, 16 peniaga haram ditahan

JENAYAH SABTU, 19 MAC 2016 @ 5:13 PM

ANGGOTA Penguatkuasa DBKL merampas barangan jualan yang dijual oleh warga asing dalam Op Tegas di Pasar Keramat, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Asyraf Sawal


KUALA LUMPUR: Seramai 16 warga Indonesia yang berniaga tanpa lesen di Pasar Keramat ditahan dalam Op Tegas oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama beberapa agensi lain di sini hari ini.

Selain itu, tujuh gerai yang dikendalikan mereka turut disita, dan semua barang perniagaan dirampas, kata Penguasa Kanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Hariyadi Mohd Nor. "Dua lesen perniagaan peniaga tempatan turut dibatalkan atas kesalahan menggaji pekerja asing manakala satu notis kompaun turut dikeluarkan," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata tindakan menyita gerai itu dibuat mengikut Undang-Undang Kecil 3 (1) Perlesenan Penjaja dan Gerai (Wilayah Persekutuan).

Kesemua warga Indonesia yang ditahan termasuk tiga lelaki, turut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dan kini tempatkan di Depoh Tahanan Imigresen, Jalan Duta untuk siasatan lanjut. Operasi yang jalankan mulai pukul 9 pagi itu menyasarkan warga asing tanpa dokumen perjalanan, melibatkan 56 anggota yang terdiri daripada Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan dan Penjaja DBKL, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen. Mohd Hariyadi berkata serbuan dilakukan selepas hasil risikan sebelum ini mendapati terdapat unsur perniagaan 'ali baba' oleh peniaga tempatan, yang menyewa tapak gerai mereka kepada warga asing untuk berniaga, di pasar itu.


 "Disebabkan hendak mengaut keuntungan dengan mudah, peniaga tempatan ini sanggup menyalahgunakan lesen yang dimiliki dengan menyewakan tapak perniagaan mereka dengan harga yang tinggi kepada warga asing.

"Bagi menanganinya, kita akan terus menjalankan usaha membanteras kegiatan ini ke seluruh kawasan terutamanya di pasar-pasar basah dari semasa ke semasa," katanya. Sementara itu, di KAJANG, polis menahan 25 orang, termasuk 13 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Taman Berjaya Baru, tengah malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata kesemua mereka yang berusia 25 hingga 47 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada jam 12.05 malam.

 "Seramai 12 lelaki dipercayai penjaga premis ditahan dan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM440 serta pelbagai peralatan hiburan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pusat hiburan berkenaan menawarkan perkhidmatan GRO untuk melakukan hubungan seks. "Penjaga premis juga gagal menunjukkan sebarang lesen perniagaan," katanya sambil menambah kesemua tahanan dibawa kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut. Khairi berkata kes berkenaan disiasat mengikut Sekyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/135147

No comments:

Post a Comment