Search This Blog

Monday, March 28, 2016

33 Kereta, Sebuah Motosikal Berkuasa Tinggi Musnah Terbakar


Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2016 5:50 PM
Sebanyak 33 kereta dan sebuah motosikal berkuasa tinggi musnah terbakar di tempat parkir bawah Kondominum Villa Mas, Jalan Sierramas Barat, dekat Sungai Buloh, dalam kejadian kira-kira pukul 5.31 pagi Ahad. - fotoBERNAMA

SUNGAI BULOH: Sebanyak 33 buah kenderaan dan sebuah motosikal berkuasa tinggi musnah dalam kebakaran di kawasan meletak kenderaan di Kondominum Villamas, Jalan Sierramas Barat, di sini, awal pagi Ahad.
Penguasa Kanan Bomba Satu Zon Shah Alam Yusri Basri berkata pihak bomba tiba di tempat kejadian pada 5.43 pagi dan kebakaran hanya dapat dipadamkan sepenuhnya pada 7.57 pagi.
"Pihak kami (bomba) menghadapi kesukaran untuk mengawal kebakaran yang semakin marak apabila kawasan di dalam kondominium itu tiada bekalan air di pili bomba selain tiada sistem pengudaraan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata operasi memadam kebakaran itu melibatkan 27 anggota dan pegawai serta lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Damansara, Selayang dan Shah Alam.
Yusri berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, manakala siasatan awal mendapati kejadian itu tidak berunsurkan perbuatan khianat, namun punca sebenar kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu seorang pemilik kenderaan terbabit, Datuk Mohammad Faizal Harun, 42, berkata kejadian itu dipercayai berlaku pada 5.30 pagi.
"Saya baru sampai sini semalam, bersama isteri dan tiga anak saya. Memang dah jadi rutin, setiap hujung minggu kami akan luangkan masa di sebuah unit rumah yang saya beli di sini," katanya.
Dua buah kereta miliknya iaitu BMW dan Nissan Grand Livina turut musnah terbakar.
Seorang lagi pemilik kenderaan terbabit, Tony Ang, 70, berkata beliau mengalami kerugiannya hampir RM500,000 apabila dua buah kereta miliknya jenis Suzuki Vitara dan Porsche musnah terbakar.
"Ketika kejadian, saya dan isteri sedang tidur dan tiba-tiba tersedar sekitar jam 5.30 pagi tadi kerana alat pendingin hawa tidak berfungsi dan berbau asap.
"Saya pun turun ke bawah dan mendapati berlaku kebakaran di basement," katanya yang tinggal di kondominium itu bersama isterinya sejak lima tahun lepas. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment