Search This Blog

Sunday, March 20, 2016

17 samseng belasah dua beradik ditahan

AHAD, 20 MAC 2016 @ 6:19 PM

Oleh Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my




HARUN Arrashid yang kini koma dilaporkan patah tulang muka dan retak tengkorak. - Foto Hanafis Abd Haris
BATU PAHAT: Polis menahan 17 samseng yang membelasah dua beradik peniaga buah-buahan sehingga parah kelmarin, dalam operasi mengesan mereka yang dilancarkan sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata semua suspek yang berusia antara 14 hingga 40 tahun itu ditahan di sekitar Rengit, dekat sini.

"Polis menahan 15 suspek yang membelasah dua beradik peniaga buah-buahan itu kelmarin pada jam 1 pagi, manakala dua lagi ditangkap kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

"Kami masih giat memburu tiga lagi termasuk suspek utama yang dikenali sebagai Joker. Bagaimanapun, polis yakin mereka ini akan dapat ditahan tidak lama lagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua 17 suspek ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan termasuk mengesan rakan mereka yang masih bersembunyi.

Awal pagi kelmarin, dua beradik peniaga buah-buahan berkenaan dibelasah sekumpulan 20 samseng hingga pengsan ketika cuba menghalang dan menangkap pencuri pisang di kedai mereka di Jalan Rengit dekat sini.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, Harun Arrashid Salahudin, 34, yang kini koma dilaporkan patah tulang muka dan retak tengkorak manakala adiknya, Muhamad Fadzilah, 28, lebam di muka selepas dibelasah samseng berkenaan.

No comments:

Post a Comment