SHAH ALAM - Belum reda kekecohan mengenai 'kenapa harimau itu dilanggar' di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), viral pula gambar harimau yang mati dirempuh itu dicuri taringnya.
Menjawab mengenai sekeping gambar memaparkan tindakan individu dipercayai sedang mengeluarkan gigi taring harimau berkenaan, pemandu tersebut Mohd Syahrin Abdul Aziz, 43, mengaku ada pihak cuba mengambil sesuatu daripada mulut harimau itu.
"Ada dua buah kereta berhenti di depan saya dan dua orang datang kepada saya. Tapi saya tak pasti mereka berkawan atau tidak. Seorang daripada mereka kata nak ambil bangkai harimau itu tetapi saya tak bagi. Seorang lagi itu tak ada apa-apa dia datang tengok sahaja.
"Saya tegaskan lagi jangan ambil. Lelaki itu pergi ke bangkai dan tengok-tengok dulu sebelum menelefon seseorang. Dia kemudiannya saya lihat seakan-akan cuba mengetuk mulut haiwan itu, tapi gigi taring itu memang sudah hendak tercabut," katanya kepada Sinar Online.
‎Berkata lanjut, dia pada ketika itu hanya 'memandang' kerana terpaksa berurusan dengan anggota peronda lebuh raya dan berulang alik ke kenderaan untuk mengambil dokumen-dokumen penting sambil memeriksa keadaan keluarganya.
"Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang hubungi saya pada hari pertama lagi," katanya.
Sementara itu menurut laporan akhbar tempatan hari ini melaporkan Pengarah Jabatan Perhilitan Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai sebaran gambar itu dan kini sedang menjalankan siasatan mengenainya.
"Saya tidak pasti sejauh mana ketulenan gambar itu, namun pihak saya tetap akan memanggil semua individu yang berada di lokasi kejadian waktu itu untuk membantu siasatan.
"Bedah siasat pada harimau itu sebelum ini melibatkan bahagian luaran dan organ dalaman. Bahagian lain-lain masih dalam siasatan," katanya.
Menggulas lanjut, Mohd Hasdi berkata, beliau tidak boleh memberi komen lanjut kerana bimbang akan menggangu siasatan
.