Lebih memilukan, mangsa yang tinggal berseorangan sejak 16 tahun lalu, baru sahaja meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga dan anak-anak yang mengunjunginya semalam.
Itulah nasib yang menimpa Ong Chock Meng, 85, yang ditemukan mati kira-kira pukul 8 pagi ini selepas rumahnya di Jalan Dagang 35 C, Taman Seri Sentosa di sini disamun.
Mangsa ditemukan terbaring tidak bernyawa berdekatan tangga di tingkat atas rumah dengan kesan lebam di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner, Azman Abdul Razak berkata, siasatan mendapati kunci gril pintu depan telah dipotong manakala pintu cermin juga diumpil.
“Kita menemukan sebilah pisau, satu pemutar skru dan tongkat di atas lantai dalam bilik tidur mangsa.
“Kita juga memperoleh lima cap jari dan dua sampel peluh di dalam rumah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, anak mangsa yang ingin dikenali sebagai Ong, 60, berkata, antara barangan milik bapanya yang hilang ialah telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM1,000.
Katanya, dia menerima panggilan daripada jirannya pada pukul 7.30 pagi memaklumkan pintu depan rumah bapanya terbuka dipercayai diumpil oleh penjenayah tersebut.
“Saya terus bergegas ke rumah bapa. Apabila sampai di rumahnya, saya dapati terdapat kesan lebam di kepala ayah mungkin dipukul oleh penjenayah berkenaan.
“Ini merupakan kali kedua rumah ayah dipecah masuk penjenayah. Kali pertama pada sam­butan Thaipusam baru-baru ini tetapi ayah berjaya menghalang penjenayah yang ingin mence­derakannya,” katanya.