KUALA LUMPUR – Bukan sahaja mengenakan cas bayaran berlipat ganda, seorang pembantu gerai kini berada dalam dilema selepas mendakwa diperguna ah long yang mengarahkannya untuk membayar ratusan ribu ringgit.
Mangsa seorang wanita dikenali Sook, 42, berkata, dalam kejadian Mei tahun lalu, dia telah meminjam daripada ah long yang juga merupakan kenalan teman lelakinya sejumlah wang sebanyak RM80,000 untuk tujuan perniagaan.
Menurutnya, sebagai cagaran, dia telah mencagar kedai miliknya selain berjanji akan membayar faedah bulanan sebanyak RM8,000.
“Ketika itu, tanpa mengetahui lebih lanjut tentang kandungan surat terbabit, saya telah menandatangani beberapa surat cagaran di sebuah pejabat peguam. Saya telah diarah menandatangani sahaja surat terbabit dengan disaksikan teman lelaki saya, peguam, kerani dan ah long tersebut.
“Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, seorang lelaki menghubungi saya dan meminta untuk membawa teman lelaki saya berjumpa dengannya di sebuah apartmen,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menceritakan detik tersebut, Sook berkata, waktu itu dia telah dikasari dan dipaksa untuk menandatangani sekali lagi borang kosong dan jika bantah, kedainya akan dijual.
Lebih memeranjatkan, selepas menandatangani borang berkenaan, dia diberitahu bahawa dirinya telah berhutang sekali lagi sebanyak RM290,000 serta merupakan penjamin kepada teman lelakinya itu.
Bimbang keadaan semakin sulit, Sook terus ke pejabat peguam untuk mendapatkan semua salinan surat, namun yang diterimanya hanyalah surat pemindahan hak milik.
“Pada Disember lalu, satu laporan polis telah dibuat. Apatah lagi selepas anak lelaki saya berusia 18 tahun yang tidak tahu menahu tentang perkara ini juga turut diugut,” katanya.
Ibu tunggal itu juga melantik seorang peguam lain untuk mendapatkan semula surat dan dokumen yang ditandatanganinya selain ingin membayar RM80,000 yang dipinjamnya pada awal dahulu.
“Namun, selepas mendapat surat balas daripada peguam mereka pada 14 Januari lalu, memberitahu saya juga merupakan peminjam kali kedua iaitu RM290,000, walhal ah long itu mendakwa saya hanya penjamin kepada teman lelaki saya.
“Jadi di sini saya tidak tahu kenapa...mungkin juga saya ditipu teman lelaki? Selain itu, timbul tentang kecelaruan pada borang yang disain selain peguam mereka yang tanpa sebarang penjelasan memperguna saya untuk menipu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa ketika dihubungi berkata, dalam kes sebegini, siasatan akan dijalankan dan pihaknya akan meneliti dokumen dan penerangan sama ada kes berkenaan terdapat unsur jenayah, penipuan atau tidak.
Menurutnya, sekiranya didapati bersalah, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemberi pinjaman terbabit atas kesalahan yang dilakukan apatah lagi jika mendapati mereka beroperasi tanpa lesen yang sah.
“Kita pandang serius perkara berkenaan yang boleh disiasat mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 selain boleh dibawa ke pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya
.