Search This Blog

Monday, February 8, 2016

Wanita maut parah kepala

Raub: Seorang peniaga restoran maut sejurus kereta Perodua Kelisa dipandu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 358, Jalan Alternatif Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini, kelmarin.
Pada kejadian jam 8.30 pagi, mangsa, Maisarah Mohamad Taha, 59, berasal dari Jalan Tras, di sini, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari bandar ini menghala ke Cheroh di sini.
Menurutnya, kereta mangsa bagaimanapun bertembung dengan sebuah kereta model Mercedes Benz dipandu seorang wanita berusia 28 tahun.
“Difahamkan kereta Mercedes-Benz itu cuba memotong kenderaan lain sebelum merempuh kereta mangsa.
“Pada masa sama, sebuah kenderaan Perodua Kembara yang berada di belakang Perodua Kelisa itu tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kenderaan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dan menghubungi pihak berkuasa.
Katanya, Maisarah yang parah di kepala dan pemandu Mercedes-Benz itu yang cedera di tangan dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan.
“Maisarah disahkan meninggal dunia tidak lama selepas dirawat di hospital berkenaan.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam keterangan saksi kejadian bagi mengenal pasti punca kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:49 AM


PENIAGA restoran maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113400#sthash.3zUQGFcF.dpuf

No comments:

Post a Comment