Video berdurasi 3.55 minit itu dimuat naik di laman Facebook miliknya iaitu Sir Azri semalam dan sehingga kini telah meraih sebanyak 1,308,947 tontonan (views).
Melalui video berkenaan, Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Mohd. Azri Wan Deris dilihat menampar, menumbuk serta menendang seorang pekerja warga Pakistan di hadapan sebuah premis kosong di sebuah bangunan.
Terdahulu, Papagomo me­manggil semua pekerja agar keluar dari premis berkenaan untuk dikenal pasti adik pe­rempuannya dan turut mengugut pekerja berkenaan se­­belum meminta lelaki tersebut memohon maaf kepada adik perempuannya.
Selain itu, dia memberitahu penyelia kepada pekerja asing itu agar lelaki itu tidak dilihat di kawasan terbabit dan mengancam untuk memukul pekerja itu jika enggan berbuat demikian.
Sementara itu, Papagomo telah menjelaskan tindakannya menyerang pekerja terbabit dalam kejadian pada 29 Januari lalu melalui laman Facebook miliknya.
Dakwanya, pekerja itu turut melakukan gangguan seksual terhadap dua adik perempuannya bersama dua rakan.
“Bukan tidak percaya pada pihak polis tetapi masa yang panjang dan dengan keadaan hari ini yang mana agak susah untuk mengheret pekerja warga asing ini ke balai polis dan silap-silap kes tidak dibawa ke muka pengadilan. Malah lebih teruk lagi pekerja warga asing lari balik ke negara mereka dan kes jadi NFA (tiada tindakan lanjut).
“Jadi aku selaku abang membuat tindakan sendiri yang pada aku pengajaran perlu diberikan kepada pelaku yang membuat gangguan seksual,” dakwanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon memberitahu, pihaknya akan menyiasat jika terdapat unsur jenayah dalam video viral berkenaan.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat mengenai kejadian itu,” jelasnya.