Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa Khariah Hashi, 49, mengalami kecederaan di bahagian kanan perut selain dikelar di dahi.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada seorang diri di rumahnya sebelum diserang anak lelakinya, Mohd. Faris Shahiddin Ahmad, 21, yang dikatakan tidak mengambil ubat mengikut aturan yang ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa yang terbaring berlumuran darah di lantai rumahnya ditemukan oleh dua lagi anak lelakinya yang baru pulang dari taman permainan berhampiran.
Menurut beliau, mangsa yang masih sedar telah memaklumkan kepada salah seorang anaknya itu tentang suspek yang menikam dan mencederakannya.
“Bagaimanapun, suspek dikatakan berjaya melarikan diri sebaik sahaja kejadian itu.
“Kedua-dua anaknya juga me­minta bantuan jiran mereka sebelum menghantar mangsa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Roy Suhaimi memberitahu, pi­haknya kini masih menjalankan gerakan memburu suspek di kawasan berhampiran.
“Siasatan di lokasi turut menemukan sebilah pisau yang digunakan oleh suspek ketika kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sementara itu, jiran mangsa yang ingin dikenali sebagai David mendakwa melihat suspek cuba memecahkan pagar hadapan rumahnya kira-kira pukul 7 pagi ini.
Bagaimanapun, tiada penghuni di rumah mangsa ketika itu dan suspek dikatakan membuat bising sebelum beredar dalam beberapa minit kemudian.