Search This Blog

Thursday, February 4, 2016

Untung curi tanah RM500,000 sebulan

Sungai Buloh: Satu sindiket ‘korek tanah’ dikesan mengaut keuntungan kira-kira RM500,000 sebulan hasil kegiatan menceroboh dan mencuri tanah topsoil (tanah bunga) di Jalan Amansari, Bukit Rahman Putra, di sini.
Kegiatan sejak 2 tahun lalu itu dilakukan cukup licik apabila sindiket sengaja menimbun sampah domestik di kawasan yang dikorek seluas lebih 1.2 hektar.
Malah sindiket itu dikesan turut mengupah samseng bagi ‘menjaga’ kawasan berkenaan supaya aktiviti mengorek dan membawa tanah keluar menggunakan lori berjalan lancar.
Pemilik bersama tanah berkenaan Wan Faisal Wan Hasan, 38, berkata, pihaknya mengalami kerugian RM5 juta apabila tanah dan pokok getah di atas tanah miliknya dicuri dan dijual sindiket itu.
“Kami membeli tanah ini sejak tiga tahun lalu untuk dibangunkan sebagai taman perumahan. Namun ia terbiar sementara berikutan kami menunggu masa untuk membangunkannya.
“Memandangkan lokasinya yang agak tersorok, saya serta pemilik lain tidak menyedari tanah itu diceroboh,” katanya.
Bagaimanapun mereka terkejut apabila mendapati terdapat pondok pengawal keselamatan yang dibina secara haram November lalu.
“Saya tambah terkejut apabila 80 peratus tanah ini sudah gondol dan pokok getah juga ditebang.
“Seorang lelaki yang berada di lokasi itu bagaimanapun menafikan mereka mencuri tanah dan saya juga kekurangan bukti untuk mendakwa mereka. Berikutan itu kamimenghantar pihak membuat risikan selama dua bulan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Susulan itu pihaknya mengatur operasi sebelum menahan 10 pemandu lori dan seorang pemandu jengkaut yang berada di tanah itu jam 11 pagi semalam.
“Semua mereka termasuk ada antaranya warga asing kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Wan Faisal berkata, terdapat 70 lori keluar masuk di kawasan itu untuk mencuri tanah dan setiap satu muatan penuh dijual pada harga antara RM100 hingga RM500.
“Tanah berkenaan dijual ke kedai pokok bunga di sekitar daerah ini dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Tanah jenis topsoil ini adalah tanah yang paling subur dan mendapat permintaan tinggi daripada pemilik kedai pokok bunga.
“Hasil daripada soalsiasat terhadap suspek yang ditahan, kami dapati tanah ini sudah diceroboh sejak dua tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Rozi Jidini yang dihubungi mengesahkan penahanan 11 suspek berkenaan.
“Siasatan lanjut kini sedang dijalankan pihak polis dan soal siasat dilakukan bagi mengenal pasti dalang sindiket itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 6:53 AM


SINDIKET ‘korek tanah’ menceroboh dan mencuri tanah topsoil (tanah bunga) di Jalan Amansari, Bukit Rahman Putra.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/112289#sthash.h2wOoZMa.dpuf

No comments:

Post a Comment