Noor Rashid Ibrahim
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya melihat ugutan yang dibuat individu berkenaan sebagai perkara yang amat serius.
Beliau menegaskan, pihaknya kini giat mengesan pemilik akaun berkenaan untuk siasatan lanjut dan kemudian akan didakwa.
“Individu terbabit akan didakwa selepas pemilik akaun yang memuat naik status berunsur ugutan berkenaan dikenal pasti.
“Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak bercakap sesuka hati kerana boleh mendatangkan masalah di kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina) dekat sini hari ini.
Status Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama Aidil Radzi ialah “Saya akan gegarkan Kuala Lumpur dan kediaman YAB Perdana Menteri Malaysia dengan letupan bom pada hari Sabtu minggu ini kerana Najib menyusahkan rakyat”.
Mengulas tentang video rakaman Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Mohd. Azri Wan Deris yang dilihat mencederakan seorang pekerja warga Pakistan, Noor Rashid menjelaskan, tiada sesiapa di negara ini akan terlepas jika bertindak di luar batas undang-undang.
“Jika kita pukul seseorang dan mendatangkan kecederaan itu adalah perbuatan salah serta tindakan undang-undang akan diambil kepada pelaku.
“Kita tidak boleh sesuka hati memukul orang lain. Kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi dan mereka yang bertindak sedemikian perlu diberi pengajaran,” ujarnya.