Search This Blog

Thursday, February 11, 2016

TV meletup akibat voltan tinggi

Sabak Bernam: “Ketika saya dan anak menonton televisyen, tiba-tiba ia berasap sebelum meletup,” kata Suzita Ramli, 41, peniaga kedai Pembangunan Luar Bandar (PLB) Bagan Terap, dekat sini, 29 Januari lalu.
Suzita seorang daripada 23 peniaga yang berdepan insiden aliran voltan elektrik tinggi sehingga mengakibatkan pelbagai barangan elektrik mereka rosak.
Dalam kejadian jam 5 petang, barangan elektrik seperti televisyen, peti sejuk, lampu, kipas, timbang elektronik dan suis utama rosak.
Suzita yang menjual barangan kosmetik berkata, dia mengalami kerugian lebih RM1,000 selepas dua televisyen, lima lampu siling, tiga lampu kalimantang serta kipas siling di kedainya terbakar dan rosak.
Dia berkata, mereka semua tidak tahu punca kejadian itu berlaku dan berharap Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan siasatan supaya ia tidak berulang.
Rakannya, M Sangeetha, 24, berkata, dia mengalami kerosakan lampu, dekoder Astro dan Internet tanpa wayar (WiFi) membabitkan kerugian RM500.
Katanya, insiden itu kali kedua berlaku di kedainya selepas kejadian sama tiga tahun lalu.
“Saya tidak tahu puncanya dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan supaya tidak berlaku lagi,” katanya.
Peniaga, Muhamed Ariffin Syed Ahmed, 21, mendakwa sehingga kini TNB masih belum melakukan siasatan punca sebenar kejadian itu walaupun peniaga beberapa kali membuat aduan.
“Aduan dibuat namun tiada tindakan diambil. Bimbang juga kalau kejadian sama berulang terutama pada waktu malam,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM2,000.
Menurutnya, ketika kejadian kipas bergegar dan berbau hangit.
“Saya matikan suis elektrik. Bila buka peti sejuk motor kipasnya tidak berfungsi,” katanya.
Sementara itu, jurucakap TNB berkata, pihaknya akan memberi kenyataan berhubung perkara itu dalam waktu terdekat.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:16 AM


MUHAMED Ariffin menunjukkan penimbang elektrik yang rosak akibat aliran voltan tinggi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/114020#sthash.kcFNaWTh.dpuf

No comments:

Post a Comment