Pegawai Turus Trafik negeri, Deputi Superintenden Mohd. Mahiri Hussin berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 1,575 saman atau 11.59 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 11,607 saman.
Menurutnya, saman yang dikeluarkan menunjukkan memandu melebihi had laju merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 8,863 saman.
“Ini diikuti dengan kesalahan tidak mempunyai lesen sebanyak 1,148, tanda lalu lintas (816), peraturan lalu lintas (664), tidak mematuhi lampu isyarat (402) dan tidak memakai tali pinggang keledar (423).
“Sehingga semalam sebanyak 993 kes kemalangan jalan raya dilaporkan. Daripada jumlah itu, terdapat sepuluh kemalangan maut yang mengorbankan 16 mangsa.
“Kemalangan maut itu masing-masing melibatkan sepuluh kes penunggang motosikal dan dua kes pejalan kaki,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mohd. Mahiri berkata, sebanyak 8,544 saman dikeluarkan kepada pemilik kereta, motosikal (1,523), van (426), lain-lain kenderaan (644), lori (359) dan kenderaan pacuan empat roda (2).
Katanya, sepanjang operasi itu juga, pihaknya menahan 15 pengguna jalan raya kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Kita tidak akan bertolak ansur dengan pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.
Tambah Mohd. Mahiri, pengguna jalan raya juga dinasihatkan berhemah dalam menjamin keselamatan semua pengguna lain.
Katanya, sebanyak 33 pegawai dan 259 anggota trafik dengan dibantu Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) di negeri ini diarahkan bertugas sepanjang Op Selamat 8 dijalankan.