Search This Blog

Wednesday, February 10, 2016

Tiga pasukan hutang gaji pemain RM4.32 juta

Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meminta tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjelaskan tunggakan gaji pemain berjumlah kira-kira RM4.32 juta bagi musim lalu, sebelum Liga M 2016 membuka tirai hujung minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail meminta pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melunaskan hutang pemain berjumlah RM3.7 juta, Kelantan (lebih RM400,000) dan Felda United FC (FUFC) (RM220,000) demi kebajikan pemain terbabit.
Bagi kes membabitkan pasukan ATM, pemain didapati mempunyai dua kontrak, Kontrak A iaitu kontrak rasmi disahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kontrak B membabitkan ATM dan pemain sahaja yang mempunyai jumlah gaji berbeza.
"Jawatankuasa Status FAM hanya mengambil kes Kontrak A, manakala bagi Kontrak B, kita telah failkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada masa ini, 15 pemain ATM masih mempunyai tunggakan sebulan gaji sebulan bagi Kontrak A dan Kontrak B pula, ada tunggakan enam bulan.
"Berhubung isu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), pemain mempunyai tunggakan antara tiga dan empat bulan. Kami dapati KAFA sudah melunaskan gaji
pemain yang masih bersama pasukan itu tetapi tidak membayar gaji lima bekas pemain," katanya pada sidang media di Wisma OCM di sini, hari ini.
Bagi kes FUFC, walaupun Jawatankuasa Status FAM pada 8 Disember lalu, memutuskan kelab itu perlu membayar pampasan RM220,000 dalam masa 14 hari kepada Azrul Ahmad yang ditamatkan kontrak, kelab itu masih tidak melunaskan gaji pemain terbabit sehingga sekarang.
Media difahamkan, jumlah gaji dalam Kontrak B lebih tinggi berbanding Kontrak A dan perkara itu menjadi kebiasaan dalam kancah bola sepak tanah air.
Izham turut meminta FAM dan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), entiti swasta yang menguruskan liga tempatan bermula musim ini supaya mengambil
tindakan lebih tegas jika perkara itu berulang, selain meminta pemain menghentikan budaya menandatangani kontrak bersama dua pasukan berbeza.
"Proses dan sistem sedia ada FAM ini sangat mengelirukan dan tergantung, mereka perlu lebih proaktif menyelesaikan isu gaji pemain. Kita telah menghantar contoh kontrak yang digunakan di Jepun dan Australia kepada FAM," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 1:37 AM


Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail (duduk dua dari kiri) bersama Presiden PFAM Hairuddin Omar (duduk kiri) dan Timbalan Presiden PFAM Rezal Zambery Yahya (duduk kanan sekali) serta sebahagian pemain ketika sidang media tunggakan gaji pemain. - Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113672#sthash.tv7vLgeR.dpuf

No comments:

Post a Comment