Search This Blog

Wednesday, February 10, 2016

Tak sempat makan besar

Batu Pahat: Sepasang suami isteri yang dalam perjalanan menyambut Tahun Baru Cina di rumah saudara mereka di Chaah, Segamat, dekat sini, maut selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 30, Jalan Kluang-Ayer Hitam di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 malam, Lok Siow, 60, dan isteri, Tan Kek Chee, 65, maut di tempat kejadian selepas parah di badan.
Menurut anak sulung mereka, Lok Wei Lian, 40, sebelum kejadian, ibu bapanya berada di Kluang menyambut perayaan itu bersama ahli keluarga di sana.
Namun, dia berkata, bapa dan ibu membuat keputusan menziarahi ahli keluarga sebelah ibu di Chaah, Segamat sekitar jam 6 petang.
“Bagaimanapun, selepas sejam beredar saya dikejutkan dengan panggilan daripada polis berhubung nahas yang menimpa ibu bapa di Jalan Kluang berhampiran Batu Pahat.
“Saya bersama dua lagi adik ke tempat kejadian untuk mendapatkan kepastian dan mendapati memang ibu dan bapa kami terbabit dalam kemalangan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, dia terkilan kerana ibu bapanya teruja makan malam bersama ahli keluarga di Chaah, namun hasrat itu tidak kesampaian.
“Saya dan dua lagi adik beradik sedih, apatah lagi ketika perayaan Tahun Baru Cina,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian itu membabitkan Proton Wira Aeroback dinaiki mangsa dan Proton Saga dinaiki empat sekeluarga.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kluang, namun terpaksa membuat pusingan U apabila tersalah jalan ketika berada di Kilometer 30, Jalan Kluang-Ayer Hitam.
“Pada masa sama, sebuah Proton Saga muncul dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta mangsa,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala empat individu lain cedera ringan.
“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 8:50 AM


Keadaan kereta dinaiki mangsa (kiri) yang remuk dirempuh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113819#sthash.eMTgYhMD.dpuf

No comments:

Post a Comment