Search This Blog

Saturday, February 6, 2016

Sembur cat pada CCTV sebelum letup mesin ATM

Alor Setar: Sekumpulan lelaki bertopeng menyembur cat pada kamera litar tertutup (CCTV) bank di Simpang Kuala, di sini, sebelum meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan melarikan wang tunai dianggarkan RM300,000, semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi, suspek dipercayai pergi ke premis berkenaan menaiki kereta dan menyembur cat pada CCTV di luar bank sebelum meletupkan sebuah mesin ATM.
Difahamkan, suspek menggunakan bom paip buatan sendiri untuk meletupkan mesin ATM bagi memudahkan proses mengeluarkan wang.
Pekerja syarikat keselamatan yang enggan dikenali berkata, pihaknya memasukkan wang tunai RM320,000 ke dalam mesin ATM itu pada jam 4 petang, kelmarin.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya menyedari mengenai kejadian jam 4 pagi, semalam selepas dimaklumkan pengurusan bank berkenaan.
“Ketika tiba di lokasi berkenaan, saya mendapati sebuah mesin ATM pecah dan terhidu bau belerang dipercayai kesan bom buatan sendiri,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Rohana Omar berkata, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, polis mendapati sebuah mesin ATM dipecahkan manakala sebahagian not RM50 bertaburan dalam ruang pengeluaran wang.
“Siasatan polis tidak menolak kemungkinan penjenayah terbabit orang luar yang datang ke kawasan berkenaan untuk merompak mesin ATM.
“Pemeriksaan rakaman CCTV mendapati kegiatan itu dilakukan sekumpulan lelaki memakai topeng masuk ke premis dan meletupkan mesin ATM sebelum melarikan wang,” katanya,
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:42 AM


KEADAAN mesin ATM yang diletupkan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/112903#sthash.zuGl0kue.dpuf

No comments:

Post a Comment