Search This Blog

Tuesday, February 9, 2016

Selamat selepas 60 jam


ANGGOTA pasukan kecemasan membantu Tsung-Tien yang ditemui masih hidup dalam runtuhan bangunan pangsapuri di Tainan, Taiwan semalam. - Agensi


TAINAN – Tiga orang mangsa ditemui masih hidup dalam runtuhan sebuah pangsapuri di Taiwan semalam, lebih 60 jam selepas bangunan itu tumbang susulan gempa bumi kuat melanda negara ini awal pagi Sabtu lalu.
Seorang daripadanya merupakan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemui selamat lewat petang semalam dalam kejadian runtuhan pangsapuri Wei di sini.
Penemuan tersebut berlaku ketika kebimbangan memuncak terhadap nasib lebih 100 mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan tersebut.
Selain itu, seorang wanita, Tsao Wei-Ling, 45, menarik perhatian penyelamat apabila menjerit meminta tolong sebelum ditemui masih hidup kerana dilindungi mayat suami serta anaknya yang berusia dua tahun.
Wei-Ling kini dalam keadaan stabil sementara menunggu berita nasib lima lagi anggota keluarganya yang masih terperangkap dengan usaha mencari dan menyelamat kini memasuki hari keempat.
Pasukan penyelamat turut menghabiskan masa selama 20 jam menggunakan kren untuk mengeluarkan seorang mangsa lelaki dikenali sebagai Lee Tsong-Tian, 40, kerana kakinya tersangkut dalam runtuhan bangunan tersebut.
Sekumpulan doktor turut dihantar untuk melihat sama ada mangsa boleh dibebaskan jika kakinya dipotong tetapi mereka tidak mempunyai ruang yang cukup untuk melakukan pembedahan tersebut. Walaupun berjaya dikeluarkan, kaki Tsong-Tian mungkin terpaksa dipotong kerana kecederaan parah yang dialami dalam insiden berkenaan.
Pasukan penyelamat kini bersiap sedia untuk menggunakan jentera berat bagi mengalihkan lapisan konkrit besar sebaik sahaja mereka sudah pasti bahawa semua mangsa di bahagian atas runtuhan bangunan pangsapuri itu telah diselamatkan.
Gempa bumi dengan magnitud 6.4 itu menyebabkan lebih 37 orang terbunuh setakat ini, kebanyakan daripadanya mangsa runtuhan bangunan tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3zcq4B5It 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment