Search This Blog

Wednesday, February 10, 2016

Sekeluarga Ditahan, Dadah Lebih RM228,000 Dirampas


Diterbitkan: Rabu, 10 Februari 2016 2:00 PM

IPOH: Polis Perak merampas dadah jenis heroin seberat 4.57 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM228,859 selepas menahan satu keluarga tiga orang di Taman Gopeng Baru, Gopeng, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata, kejayaan itu berikutan penahanan seorang lelaki berumur 58 tahun dalam sebuah kereta jenis Proton Waja di hadapan sebuah rumah di taman berkenaan pada 5 Februari kira-kira pukul 3.50 petang. 
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemukan lima peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 4.53 kg.
"Dalam pemeriksaan susulan di rumah lelaki itu, polis menahan isteri dan anak lelaki suspek berumur 20 tahun selain turut menemukan tiga peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 50.70 gram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Rabu.
Ravi berkata, ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu disyaki untuk diedar di kawasan Gopeng, Kampar serta Ipoh dan boleh dibekalkan kepada kira-kira 3,500 penagih. 
Ravi Chandran berkata ketua keluarga yang ditahan itu bekerja sebagai pekebun dan mempunyai enam rekod jenayah lampau, manakala isteri serta anak lelakinya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
"Kami juga masih menyiasat sejak bila mereka ini mula aktif mengedar dadah. Pekebun itu juga positif methamphetamine," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.--Bernama

No comments:

Post a Comment