Search This Blog

Monday, February 8, 2016

Rumah Terbakar, Sambutan Tahun Baru Cina Suram


Diterbitkan: Isnin, 8 Februari 2016 10:38 AM

JITRA: Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini seakan tidak bererti buat 12 orang daripada tiga buah keluarga keturunan Tionghua selepas rumah mereka musnah dalam satu kebakaran di Taman Mahsuri, Bandar Darulaman di sini, awal pagi Isnin.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Ishak Ayob Ali berkata kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 1.18 pagi dipercayai selepas kesemua keluarga itu selesai menikmati tradisi "makan besar" malam tadi.
"Kebakaran dipercayai bermula daripada rumah tengah dan kemudian merebak ke rumah bersebelahan kiri dan kanan kediaman itu.
"Ketika kebakaran penghuni di rumah bahagian tengah itu dikatakan pergi bermalam di rumah saudara mereka manakala keluarga di dua buah rumah lagi sempat menyelamatkan diri sebelum api marak," katanya kepada pemberita di sini.
Ishak Ayob berkata pihaknya menemui sisa barangan mudah terbakar seperti lilin dan colok di dalam rumah tengah berkenaan yang lazimnya digunakan masyarakat itu dalam upacara keagamaan.
Katanya pihak bomba berserta 35 anggota dengan sembilan buah jentera telah berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit sebaik tiba selepas itu.
"Bagaimanapun punca-punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan berlaku," katanya.
Beliau turut menasihati penduduk agar tidak lalai dalam musim perayaan ini dan sentiasa peka terhadap penggunaan bahan-bahan yang memudahkan kebakaran seperti mercun, bunga api dan lain-lain.
Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Leong, 37, berkata ketika kejadian beliau bersama keluarga sedang rancak berbual sebelum terbau asap dan apabila keluar melihat kepulan asap itu daripada rumah tengah itu.
"Kami sempat mengeluarkan beberapa barangan penting tetapi sedih ia berlaku pada Tahun Baharu Cina," katanya.
Katanya mereka sekeluarga kini menumpang di rumah sanak saudara buat seketika.

No comments:

Post a Comment