Difahamkan majlis pengur­niaan pingat berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di Ipoh pada pertengahan bulan lalu melibatkan peng­anugerahan kepada beberapa individu.
Kesemua anugerah itu membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’. Ini merupakan kes kedua melibatkan penganugerahan pingat dan darjah palsu melibatkan negeri tersebut.
Pada 17 Januari lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan, kemunculan seorang lelaki yang ditabalkan sebagai ‘Maharaja Kinta’. Majlis mentabalkan individu berkenaan berlangsung di Selangor dengan diuar-uarkan sebagai ‘Majlis Pemasyuran Maharaja Kinta Mahkota Alam’.
Selain upacara mirip pertabalan raja-raja dilakukan seperti adat bersiram, turut diadakan penganuge­rahan darjah dan pingat khususnya yang membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.
Dalam sidang akhbar di IPOH, hari ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mendedahkan wujudnya satu pihak di ne­geri ini yang bergiat aktif dan bebas mengurniakan bintang dan darjah kebesaran palsu dengan menggunakan nama istana.
Menurut beliau, kegiatan tersebut sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu dan semakin menjadi-jadi sehingga menganjurkan istiadat pengurniaan bintang dan darjah kebesaran untuk pangkat Datuk dan Datuk Seri yang diadakan di negeri ini.