SATUN - Sepasukan anggota polis, tentera dan pegawai perhutanan di Satun menemui sebuah kebun berkeluasan 32 hektar yang ditanam pokok ketum di Bukit Bantat, daerah Manang di Satun, selatan Thailand.
Ketua Polis Bahagian ke-9 Jen (Pol) Wirapong Chuenpakdee berkata kebun terbabit terletak di dalam hutan simpanan hidupan liar yang bersempadan dengan wilayah Trang dan Phattalung.
"Penemuan kebun ketum itu adalah hasil siasatan polis susulan kejadian rumah ketua kampung daerah Manang ditembak beberapa lelaki bersenjata pada 3 Februari lepas menyebabkan anaknya berusia sembilan tahun, maut," katanya kepada pemberita hari ini.
Seramai 150 anggota polis, tentera dan perhutanan katanya, terpaksa berjalan kaki selama dua jam untuk sampai ke kebun terbabit yang dijaga dengan rapi untuk menghasilkan daum ketum Gred A.
Kejadian tembakan terhadap rumah ketua kampung itu menurutnya dipercayai kerana mahu membalas dendam berikutan tindakannya membongkar kewujudan kebun ketum di tengah-tengah hutan simpan hidupan liar itu.
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lebih lanjut tentang kebun ketum itu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai tempatan yang bersubahat dengan kegiatan tersebut.
Wirapong berkata, daun-daun ketum daripada kebun itu dijual di wilayah selatan Thailand. - Bernam
a