Kesemua suspek ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Gopeng Baru, kira-kira pukul 3.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden V. R. Ravi Chandran berkata, suspek pertama yang berusia 58 tahun ditahan bersama sebuah kereta jenis Proton Waja di hadapan rumah tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam kenderaan itu mendapati terdapat dadah jenis heroin sebe­rat kira-kira 4.5 kilogram.
“Susulan daripada tangkapan tersebut, pemeriksaan lanjut dilakukan di dalam rumah dan menjumpai dadah seberat kira-kira 0.05 kilogram. Dalam serbuan itu, kita turut menangkap isteri dan anak lelaki suspek masing-masing berusia 54 dan 20 tahun.
“Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM228,859 dan kita juga menyita sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dianggarkan bernilai RM15,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ravi Chandran berkata, siasatan lanjut mendapati, hanya suspek lelaki berusia 58 tahun mempunyai enam rekod kesalahan lampau.
Menurutnya, pemeriksaan air kencing terhadap lelaki yang merupakan seorang pekebun itu juga mendapati positif dadah jenis methamphetamin.
“Dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada lebih 3,500 penagih dan disyaki diedarkan di daerah ini, Gopeng dan Kampar.
“Ketiga beranak ini direman selama tujuh hari bermula daripada tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Ravi Chandran memberitahu, polis sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes melibatkan dadah di negeri ini.
Ketiga-tiga mereka ialah Hew Tean Khoon, 40, yang berasal dari Ipoh, S. Thevan, 34, (Ipoh) dan Mohd. Yunus Mat Yusof, 30, (Sungkai).