Search This Blog

Thursday, February 11, 2016

Polis Kedah tahan 8 lelaki, rampas 4 pistol, 1 senapang angin

KHAMIS, 11 FEBRUARI 2016 @ 3:55 PM
JITRA: Polis Kedah merampas empat pucuk pistol dan peluru serta selaras senapang angin dalam dua serbuan di Jalan Kangar-Kodiang dan Kampung Paya Ked Long, Changlun semalam dan hari ini.
KETUA Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya (dua dari kiri) menunjukkan empat pucuk pistol dan peluru serta selaras senapang angin yang dirampas dalam dua serbuan di Jalan Kangar-Kodiang dan Kampung Paya Ked Long, Changlun semalam dan hari ini. -Foto BERNAMA
Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata dalam serbuan awal pagi semalam dan awal pagi tadi, polis Kubang Pasu menahan lapan lelaki tempatan berumur antara 18 dan 43 tahun dan merampas dadah seberat 2097 gram bernilai RM2,150.
Beliau berkata, serbuan pertama dibuat pada 12.30 pagi semalam di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Kangar-Kodiang dan menahan empat lelaki berumur antara 25 hingga 43 tahun.
Hasil pemeriksaan menemui tiga pucuk pistol dan 19 butir peluru serta sembilan paket dadah jenis heroin seberat 5.33 gram dan syabu seberat 14.41 gram dalam beg sandang seorang daripada suspek.
"Suspek berusia 43 tahun itu mendakwa dadah itu untuk kegunaan dirinya Kita dapati suspek yang memiliki pistol itu memiliki rekod jenayah lampau kes cubaan bunuh dan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu hari ini.
Zamri berkata, pihaknya percaya pistol separa automatik itu diperoleh dari negara jiran, Thailand dan pihaknya sedang menyiasat tujuan suspek memiliki pistol berkenaan.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati dua lagi suspek memiliki rekod jenayah berkaitan dadah manakala seorang lagi suspek tidak mempunyai rekod jenayah.
Beliau berkata, keempat-empat suspek itu direman tujuh hari bermula semalam hingga 16 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 39A(1) dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Zamri berkata, dalam serbuan 3.10 pagi ini di tepi jalan Kampung Paya Ladang Ked Long, Changlun, polis menahan empat lelaki berumur antara 18 dan 39 tahun yang dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol tidak berjenama dengan tujuh butir peluru 9mm yang diselitkan pada belakang pinggang seorang suspek dan dadah jenis syabu seberat 1.5gram," katanya.
Polis turut merampas selaras senapang angin jenama Super Model 737 CAL 177 yang disimpan dalam sebuah beg berwarna hitam.
"Seorang daripada suspek mendakwa dadah itu untuk kegunaannya sendiri dan senapang angin itu digunakan untuk memburu burung," katanya.
Tiga suspek itu memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek tidak memiliki rekod lampau.
Beliau berkata, keempat-empat suspek ditahan reman bermula hari ini hingga 17 Feb ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment