Komander asas, Djoko Senoputro berkata, kejadian itu berlaku apabila enjin pesawat jenis Super Tucano itu dikatakan gagal berfungsi sebaik-baik sahaja berlepas dari Pengkalan Tentera Udara Abdul Rachman Saleh, di sini.
Selain juruterbang, turut maut dalam kejadian itu ialah dua orang awam, manakala nasib seorang jurutera yang turut serta dalam penerbangan itu masih belum diketahui.
“Selepas menjalani latihan pe­nerbangan selama 45 minit, kami terputus hubungan dengan mereka.
“Kami kemudian menerima laporan daripada orang ramai menyatakan pesawat itu dilihat terhempas mengenai sebuah rumah dan terperosok ke dalamnya,” kata Djoko.
Dalam pada itu, seorang wanita dikenal pasti sebagai antara mangsa yang terbunuh dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 10.12 pagi waktu tempatan itu.
Menurut jiran mereka, Aiman, ketika kejadian, Erna sedang masak di dapur berseorangan manakala suaminya, Mujianto kelur bekerja dan anak mereka berada di sekolah.
“Kami panik sebaik-baik sahaja melihat ada sebuah pesawat berlegar-legar di kawasan kediaman ini. Tidak sangka ia jatuh ke atas rumah Pak Mujianto,” ujar Aiman.
Disember lalu, dua juruterbang terbunuh semasa mengadakan pertunjukan di Jawa Tengah, dan lima bulan sebelum itu, 142 orang terkorban apabila pesawat Hercules C-130 terhempas di sebuah penempatan di Medan. – AFP/Kompas.com