HONG KONG - CHINA. Satu pertempuran ganas tercetus antara anggota keselamatan dan penjaja makanan dalam satu operasi menyasarkan peniaga tidak berlesen di daerah perniagaan popular di kawasan kejiranan Mong Kok ketika sambutan Tahun Baharu Cina, kelmarin.
Jurucakap polis di Hong Kong memaklumkan ratusan individu bertindak menyerang anggota keselamatan dan merosakkan harta benda awam serta membaling pelbagai objek ke arah pihak berkuasa.
Situasi yang semakin tegang menyebabkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan dua das tembakan amaran di sebuah lagi pasar sesak di Kowloon.
"Kira-kira 48 anggota polis cedera dalam kejadian itu. Seramai 24 lelaki dan wanita berumur antara 17 dan 70 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas," kata Pemangku Komander Daerah, Yan Siu-kei.
Dalam satu kenyataan lain, Ketua Eksekutif, Leung Chun-ying menegaskan polis akan mengheret individu yang bertanggungjawab menjadi dalang mencetuskan protes ganas di Mong Kok terbabit ke muka pengadilan.  
"Orang ramai boleh menyaksikan sendiri bagaimana mereka bertindak ganas dan kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut," katanya.
Difahamkan, pihak berkuasa juga terpaksa menggunakan penyembur lada dan baton untuk menyuraikan kumpulan protes terbabit, lapor AFP
.