Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu dipercayai didalangi sekumpulan lelaki yang memakai topeng muka.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Rohana Omar berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek telah menggunakan bom buatan sendiri untuk meletupkan salah sebuah mesin ATM di bank berkenaan.
“Kejadian ini disedari orang awam. Setelah sepasukan anggota tiba di lokasi kejadian didapati sebuah mesin ATM telah dipecahkan manakala wang RM50 yang masih elok ditemukan bertaburan berjumlah RM33,000 di ruang mesin pengeluaran wang tersebut.
“Menerusi pemeriksaan CCTV didapati sekumpulan lelaki bertopeng telah memecahkan satu mesin ATM dan melarikan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, suspek telah bertindak menyembur cat berwarna hijau pada CCTV di luar bank terbabit terlebih dahulu sebelum meletupkan mesin ATM berkenaan.
Menurut Rohana, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Usaha memburu suspek terlibat akan giat dilakukan. Pada masa sama, kita juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya.